Kos Perubatan Malaysia Semakin Tinggi pada Tahun 2026

Mengapakah Kos Perubatan di Malaysia Meningkat Mendadak?

Statistik dan Trend Semasa (2024–2026) Malaysia kini menghadapi lonjakan ketara dalam inflasi kos perubatan, yang diunjurkan mencecah kadar 16% pada tahun 2026, menurut laporan 2026 Global Medical Trend Rates oleh Aon. Angka ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara dengan kenaikan kos perubatan tertinggi di rantau ASEAN, hanya di belakang Indonesia (16.9%) tetapi lebih tinggi berbanding Thailand (14.8%), Singapura (13%), dan Vietnam (12.2%). Kadar ini juga jauh melebihi kadar inflasi umum negara (Indeks Harga Pengguna) yang biasanya berlegar sekitar 2–3%, serta mengatasi purata inflasi perubatan Asia Pasifik yang diunjurkan sekitar 11%. Pada tahun 2024 dan 2025, trend ini sudah mula ketara dengan kadar inflasi perubatan yang konsisten berada pada paras dua digit, iaitu sekitar 15%.

Punca Utama Kenaikan Peningkatan drastik ini didorong oleh beberapa faktor kritikal, sering dirujuk sebagai “super-inflation” dalam sektor kesihatan. Faktor utama ialah peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi, dan penyakit kardiovaskular yang memerlukan rawatan jangka panjang dan mahal. Selain itu, populasi menua di Malaysia meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan yang lebih intensif. Faktor luaran seperti kelemahan nilai Ringgit turut memberi kesan besar kerana sebahagian besar ubat-ubatan canggih dan peralatan perubatan adalah diimport, menyebabkan kos rawatan di hospital swasta meningkat mendadak. Kemajuan teknologi perubatan, walaupun memberikan hasil rawatan yang lebih baik, juga menyumbang kepada kos prosedur yang lebih tinggi.

Kesan Terhadap Pengguna Akibat daripada inflasi ini, pengguna menghadapi kenaikan harga premium insurans perubatan dan takaful (repricing) yang ketara. Sebagai tindak balas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan langkah-langkah baharu bermula 2024/2025, termasuk mewajibkan syarikat insurans menawarkan pelan dengan ciri pembayaran bersama (co-payment). Langkah ini bertujuan untuk mengawal kenaikan premium jangka panjang dengan menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih berhemah, di mana pemegang polisi menanggung sebahagian kecil kos rawatan bagi mengelakkan tuntutan yang tidak perlu.

Senarai Rawatan & Perubatan Paling Popular di Malaysia:

Berdasarkan data terkini dari laporan industri seperti Global Medical Trends dan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), prosedur dan rawatan di hospital swasta Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa kategori utama.

Trend di hospital swasta sedikit berbeza dengan hospital kerajaan kerana pesakit (atau insurans mereka) lebih cenderung membiayai prosedur elektif (pilihan) dan rawatan keselesaan, selain daripada kes kecemasan.

1. Rawatan Bersalin & Wanita (Paling Dominan)

Ini adalah antara penyumbang hasil terbesar untuk hospital swasta.

  • Caesarean Section (C-Sec): Kadar pembedahan C-Sec di hospital swasta Malaysia adalah sangat tinggi berbanding hospital kerajaan. Ramai ibu bapa memilih prosedur ini secara elektif untuk merancang kelahiran.
  • Histerektomi: Pembedahan membuang rahim (selalunya disebabkan fibroid atau kanser).

2. Prosedur Diagnostik & “Day Care” (Balik Hari)

Prosedur ini popular kerana cepat (kurang dari 24 jam) dan selalunya dilindungi insurans sebagai prosedur harian.

  • Endoskopi & Kolonoskopi: Sangat kerap dilakukan untuk memeriksa masalah perut (gastrik, ulser) dan usus (skrin kanser kolorektal). Disebabkan gaya hidup pemakanan rakyat Malaysia, permintaan untuk prosedur ini sangat tinggi.
  • Pembedahan Katarak: Biasanya menggunakan teknik Phacoemulsification. Ia pantas dan pesakit boleh pulang hari yang sama.
  • MRI & CT Scans: Penggunaan diagnostik canggih jauh lebih tinggi di swasta kerana masa menunggu yang sangat singkat berbanding hospital awam.

3. Pembedahan Am & Ortopedik

Penyakit gaya hidup dan faktor usia memainkan peranan besar di sini.

  • Sakit Lutut (Total Knee Replacement): Sangat kerap dalam kalangan warga emas.
  • Batu Hempedu (Cholecystectomy): Pembuangan pundi hempedu, selalunya secara laparoskopi (tebuk), berkait rapat dengan diet tinggi kolesterol.
  • Apendektomi: Pembuangan apendiks (biasanya kes kecemasan).

4. Kardiovaskular (Jantung)

Penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia, jadi rawatan ini sangat kerap walaupun kosnya tinggi.

  • Angiogram & Angioplasty (Stent): Prosedur membuka saluran darah tersumbat. Hampir setiap hospital swasta utama mempunyai makmal kateter (Cath Lab) yang sibuk.
  • Pintas Jantung (Bypass/CABG): Untuk kes yang lebih serius di mana stent tidak memadai.

5. Rawatan Penyakit Kronik & Berjangkit

  • Dialisis: Walaupun banyak pusat dialisis luar, hospital swasta tetap menjadi tumpuan utama untuk memulakan rawatan atau bagi kes yang rumit.
  • Denggi & Influenza/Pneumonia: Ini adalah sebab paling biasa untuk kemasukan wad (admission) bukan pembedahan. Ramai pesakit swasta masuk wad untuk pemantauan rapi (IV drip & platelet count) apabila demam denggi atau jangkitan paru-paru.
Jenis RawatanProsedur / RawatanAnggaran Harga Perubatan (RM)Fakta-fakta Relevan
Jantung (Kardiovaskular)Angiogram (Pemeriksaan)RM 2,000 – RM 5,000Langkah pertama bila ada sakit dada. Cepat & kerap dibuat.
Angioplasty (Masuk Stent)RM 25,000 – RM 50,000+Pembunuh No. 1 di Malaysia. Kos bergantung pada jumlah stent.
Bersalin & WanitaCaesarean (C-Sec)RM 10,000 – RM 20,000Sangat popular di swasta untuk kelahiran terancang (elektif).
Histerektomi (Buang Rahim)RM 15,000 – RM 30,000Selalunya disebabkan oleh Fibroid atau masalah peranakan.
Pembedahan AmApendektomi (Buang Apendiks)RM 8,000 – RM 18,000Pembedahan kecemasan paling biasa (Emergency).
Kolesistektomi (Batu Hempedu)RM 12,000 – RM 22,000Berkait rapat dengan diet kolesterol tinggi rakyat Malaysia.
Ortopedik (Tulang)Total Knee Replacement (Lutut)RM 35,000 – RM 55,000Popular dalam kalangan warga emas (sakit lutut kronik).
MataPembedahan Katarak (Per mata)RM 3,500 – RM 8,000Prosedur “Day Care” paling laju (tak perlu masuk wad lama).
Pencernaan (Usus)Gastroskopi & KolonoskopiRM 2,000 – RM 4,500Saringan kanser usus atau masalah gastrik yang serius.

Kalau anda tengok senarai ni, kos untuk benda yang nampak ringkas macam sakit perut (scope) atau buang apendiks pun dah boleh cecah belasan ribu ringgit. Inilah realiti inflasi kos perubatan di Malaysia yang mencecah 15-16% tu. Dulu mungkin RM5,000 dah cukup untuk apendiks, sekarang tidak lagi.

Realitinya, hospital swasta akan caj satu per satu segala “mak nenek” barang yang digunakan—dari kos pakar bius, caj bilik dan jururawat, ubat-ubatan (yang kadang-kadang harga sekeping Panadol pun boleh tahan mahal), hinggalah ke benda remeh macam sarung tangan, kapas, dan tiub IV yang dikira sebagai consumables. Bila dicampur semua tu dengan cukai perkhidmatan lagi, jumlah besar yang perlu dibayar selalunya jauh melambung tinggi berbanding kos pembedahan asal yang kita nampak dalam risalah atau sebut harga awal tadi.

Kos Rawatan di Hospital Swasta Melampau Tinggi – Bagaimana pula dengan Hospital Awam KKM?

Bercakap tentang hospital kerajaan (Hospital KKM), kita sebagai warganegara memang diberkati dengan perkhidmatan & infrastruktur hospital yang berkualiti tinggi serta percuma (RM1 kira percuma lah yaaaa). Hospital kerajaan mempunyai staf perubatan yang pakar, fasiliti pun bagus juga.

Namun, dengan inflasi perubatan yang menggila di sektor swasta, hospital kerajaan kini menghadapi cabaran besar: banjir pesakit dari golongan M40 dan T20 yang tidak lagi mampu menanggung premium insurans atau kos rawatan swasta. Ini menyebabkan fenomena “kesesakan melampau” walaupun kerajaan telah meningkatkan bajet (RM46.5 bilion (angka astronomi) untuk tahun 2026) untuk cuba menyelesaikan masalah “overcrowding”.

1. Kos: Hampir Percuma (Penyelamat Kewangan)

Ini kelebihan yang tiada tandingan. Subsidi kerajaan menanggung kira-kira 98% kos rawatan sebenar.

  • Yuran Pendaftaran: RM1 (Pesakit Luar), RM5 (Pakar).
  • Kos Wad & Pembedahan: Caj wad kelas 3 adalah sangat minimum (contoh: RM3 sehari). Malah, pembedahan jantung yang berharga RM50,000 di swasta mungkin hanya menelan belanja RM500 atau kurang di hospital kerajaan untuk warganegara (kos bahan/implan mungkin berbeza).
  • Ubat-ubatan: Kebanyakan ubat diberi percuma atau pada kos yang sangat rendah.

2. Kepakaran: Terbaik di Kelasnya

Jangan pandang rendah pada pakar kerajaan. Kebanyakan kes rumit dan kritikal (seperti pembedahan otak kompleks, transplan organ, atau komplikasi pelbagai disiplin) sering dirujuk dari swasta ke kerajaan kerana di sinilah terletaknya pakar senior dan kelengkapan sokongan yang paling lengkap.

3. Cabaran Utama: “Masa itu Emas”

Di sinilah anda “membayar” harga subsidi tadi—dengan masa anda.

  • Waktu Menunggu: Untuk kes bukan kecemasan (elektif), giliran untuk pembedahan (seperti katarak atau lutut) boleh memakan masa berbulan-bulan.
  • Kesesakan: Jabatan Kecemasan (zon hijau) sering penuh sesak. Sasaran KKM untuk mengurangkan waktu menunggu di klinik kepada 30 minit sedang diusahakan, tetapi realiti di hospital besar masih sangat sibuk.
  • Keselesaan: Jika anda masuk wad kelas 3, bersedialah untuk berkongsi bilik dengan ramai pesakit lain, kipas siling, dan bilik air kongsi. Privasi adalah “mewah” yang sukar dapat di sini.

Jadual Perbandingan Mudah: Swasta vs. Kerajaan

Ciri-ciriHospital SwastaHospital Kerajaan
Kos RawatanSangat, sangat Tinggi (Inflasi 15-16%)Sangat Rendah (Disubsidi)
Masa MenungguSegera, masa tunggu minimal.Amat panjang, kecuali kalau kondisi serius dan teruk.
PakarBoleh pilih doktor sendiri.Doktor ditetapkan.
Bilik/WadHotel-style (Single/Double). Cukup selesa.Asas (Dormitori/Wad Terbuka) tapi percuma.
Ubat/ImplanCaj penuh + Mark-up tinggiPercuma / Harga Kos

Pandangan saya: Hospital kerajaan adalah “jaring keselamatan” terbaik kita. Kalau sakit demam biasa atau nak cepat, mungkin swasta atau klinik luar lebih selesa dan cepat. Tapi kalau kena penyakit kritikal jangka panjang seperti kanser atau perlu dialisis seumur hidup yang boleh “menelan” had insurans dalam masa setahun, hospital kerajaanlah tempat kita akhirnya berteduh. Cuma nasihat saya, bawalah powerbank dan banyakkan bersabar bila ke sana. Parking susah nak dapat, selalunya tak ada spot. Layanan mungkin mesra (biasanya tidak, sebab terlalu ramai pesakit) tapi memang lega apabila dapat bil perubatan.

Had Tahunan Kad Medikal Anda Mungkin Sudah Tidak Mencukupi

Dengan kadar inflasi perubatan mencecah 15-16% di tahun 2026, “standard lama” kad perubatan dengan had tahunan RM100,000 (atau lebih rendah) sudah tidak lagi selamat. Ia mungkin cukup untuk demam denggi, tetapi sangat berisiko jika berlaku penyakit kritikal.

Berikut adalah panduan cadangan Had Tahunan Kad Perubatan untuk rakyat Malaysia pada tahun 2026, supaya pelan anda mampu menangani kadar inflasi kos perubatan untuk 10-20 tahun akan datang.

Kumpulan UmurProfil Risiko & Tuntutan BiasaHad Minimum SelamatHad Ideal DisyorkanKenapa Jumlah Ini?
Kanak-kanak
(0 – 18 tahun)
Kerap Masuk Wad, Kos Sederhana.
Biasa: Influenza, Pneumonia, Denggi. Risiko penyakit kongenital dikesan lewat.
RM 250,000RM 1 Juta+Premium untuk kanak-kanak masih rendah. Mengambil had tinggi (RM1 Juta) sekarang adalah bijak untuk melindungi mereka selama berpuluh tahun sebelum sebarang rekod penyakit wujud.
Dewasa Muda
(19 – 35 tahun)
Kekerapan Rendah, Impak Tinggi (Trauma).
Biasa: Kemalangan jalan raya, kecederaan sukan (ACL/Lutut), apendiks akut.
RM 500,000RM 1 Juta+Anda sihat sekarang, jadi ini masa paling murah untuk beli had tinggi. Kemalangan serius atau diagnosis kanser pada usia 30 boleh menghabiskan had rendah sekelip mata.
Pertengahan Usia
(36 – 55 tahun)
Zon Kritikal (Permulaan Penyakit NCD).
Biasa: Sakit Jantung (Stent/Pintas), Kanser, Batu Karang, Histerektomi.
RM 1 JutaRM 2 Juta+ atau “Tanpa Had”Ini fasa di mana “Inflasi Perubatan” paling terasa. Rawatan kanser moden (Imunoterapi) boleh mencecah RM200k–RM300k setahun. Had rendah akan habis di pertengahan rawatan.
Pra-Persaraan & Warga Emas
(56+ tahun)
Kekerapan Tinggi, Kos Tinggi.
Biasa: Katarak, Ganti Lutut, Strok, Penjagaan kanser jangka panjang, Dialisis.
RM 500,000RM 1 Juta+Mampu milik adalah kunci. Jika had tinggi terlalu mahal, pastikan sekurang-kurangnya ada RM500k untuk menampung pembedahan utama supaya tidak membebankan simpanan persaraan.

Kenapa “RM 1 Juta” Adalah Standard Baharu?

Mungkin bunyi macam melampau, tapi dalam dunia perubatan swasta hari ini, RM1 Juta itu adalah keperluan, bukan kemewahan. Ini sebabnya:

  1. Kos Rawatan Kanser Bukan Sekali Bayar: Ubat kanser terkini (Targeted Therapy/Immunotherapy) tidak melibatkan satu pembedahan sahaja. Ia adalah kos berulang setiap bulan yang boleh mencecah RM150,000 hingga RM300,000 setahun. Kad lama dengan had RM100k akan “kering” dalam masa 4 bulan sahaja.
  2. Inflasi Berganda: Dengan inflasi 15%, kos rawatan akan berganda setiap 5-6 tahun. Prosedur yang berharga RM50,000 hari ini mungkin menjadi RM100,000 apabila umur anda meningkat nanti.
  3. Satu Had Untuk Semua: Ingat, had tahunan itu perlu menampung segalanya—bilik, ICU, caj pakar bedah, dan ubat. Jika berlaku komplikasi (contoh: jangkitan kuman selepas bedah) yang memerlukan 2 minggu di ICU, bil boleh mencecah RM200,000 dengan mudah.

Nasihat Peribadi Untuk Jimat Kos

Memandangkan kad dengan had tinggi (RM1 Juta ke atas) boleh jadi mahal, jangan hanya tengok pada had limit. Tengok pada struktur pelan tersebut:

  • Pilih Opsyen Deduktibel (Deductible): Untuk mampu memiliki kad RM1 Juta, ambil pelan yang ada deduktibel (contoh: anda bayar RM500 pertama, selebihnya insurans bayar). Ini boleh menurunkan harga premium bulanan sebanyak 20-40%. Anda dapat perlindungan tinggi untuk bencana besar tanpa membebankan bajet bulanan.
  • Semak Polisi Lama: Jika anda beli kad perubatan pada tahun 2015 atau sebelumnya, besar kemungkinan had tahunan anda terlalu rendah (RM60k-RM90k). Anda kini dalam zon “bahaya”. Naik taraf sekarang sementara masih sihat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *